PKNP hukum kealpaan Selangor

Oleh Staff Writer 7 Mei 2018 5175
PKNP hukum kealpaan Selangor
Selangor dinafikan peluang untuk mengutip mata penuh dalam pertemuan Liga Super menentang PKNP FC di laman sendiri malam tadi selepas lawan bangkit menghasilkan gol di lewat
permainan untuk mengikat kedudukan 1-1.


Dalam aksi di Stadium KLFA, Cheras, Selangor melayan kunjungan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu dengan misi mencari penawar duka selepas tewas dalam aksi terakhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) sementara PKNP memasang hasrat untuk meneruskan momentum kemenangan.

Bagaimanapun, aksi terganggu ketika permainan baru berusia empat minit apabila lampu limpah terpadam sehingga menyebabkan perlawanan tertangguh selama 13 minit.

Sebaik permainan bersambung, PKNP hampir berada di depan menerusi kapten, Shahrel Fikri Md Fauzi, namun penyudahnya sedikit tersasar sebelum tandukannya pada minit kelapan sekadar singgah ke palang gol.

Bersambung babak kedua, Selangor bangkit memperkemaskan corak permainan dan hasilnya, tuan rumah memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-53.

Gerakan itu berpunca daripada hantaran Amri Yahyah, sebelum percubaan Evan Dimas disudahkan dengan tenang oleh penjaring terbanyak pasukan, Rufino Segovia.

Tatkala pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir itu bersedia untuk meraikan kejayaan tiga mata, Hafiz Ramdan muncul wira PKNP apabila meledakkan gol penyamaan dalam waktu kecederaan, sekali gus menamatkan aksi dengan keputusan 1-1.

"Ini adalah bola sepak. Selagi belum tamat 90 minit, saya tidak boleh terlalu yakin. PKNP bukan calang-calang pasukan kerana mereka dibarisi pemain muda yang berkualiti dan hasilnya kami dihukum dengan jaringan saat-saat akhir," kata Nazliazmi.

"Usaha yang terakhir memberikan tuah kepada kami. Namun, empat peluang yang diraih dalam babak pertama, sekurang-kurangnya dua daripadanya menepati sasaran tetapi barisan depan PKNP masih belum menjadi," ujar Abu Bakar.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen