Hasrat Abu Bakar Fadzim menurunkan barisan terkuatnya untuk pertemuan kali keempat dengan Perak malam ini tidak kesampaian gara-gara Thomas Abbey mengalami kecederaan teruk.

Pemain tengah Ghana itu mengalami keretakan di tulang ibu jari kaki kanan (metatarsal) ketika menentang Perak dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Ipoh, empat hari lalu.

Abbey mengalami kecederaan itu pada minit ke-65 sehingga terpaksa diusung keluar.

Menurut Abu Bakar, Abbey terpaksa berehat selama enam hingga lapan minggu dan mungkin memaksa PKNP FC mencari pengganti.

Berikutan itu, jurulatih itu menjelaskan G. Mugenthiran akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Abbey itu.

"Mugenthiran sudah tidak beraksi dalam empat perlawanan terakhir akibat kecederaan.

"Kini dia sudah pulih dan boleh beraksi. Saya berharap dia mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Agak malang saya tidak dapat menurunkan barisan terkuat untuk perlawanan ini, " kata Abu Bakar.

Apapun, jurulatih itu berkata perjuangan tetap diteruskan dalam usaha PKNP FC mencari mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

Beliau yakin pemain PKNP FC tahu apa yang perlu mereka lakukan kerana sudah cukup berpengalaman beraksi dengan Perak.

"Kami sudah bertemu tiga kali sebelum ini dan saya yakin kedua-dua pasukan sudah masak dengan corak masing-masing.

"Kami berjaya memberi saingan sengit kepada Perak dalam dua perlawanan terakhir.

"Saya yakin pemain sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan malam ini," katanya.