Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC terpikat dengan aksi pemain Tajikistan, Acpopov Asrorov, yang baru menyertai pasukan ketika menentang Perlis dalam aksi persahabatan, malam tadi.

Dalam perlawanan di Arena Universiti Malaya yang berkesudahan 3-3 itu, Asrorov bergandingan baik dengan Syukri Hamid sebelum dikeluarkan gara-gara mengalami kecederaan buku lali.

Menurut jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, pemain kebangsaan Tajikistan berusia 26 tahun itu tiba semalam dan terus menyertai pasukan.

"Saya gembira dengan persembahannya. Dia menepati keperluan pasukan," ujarnya.

Dengan kehadiran Asrorov itu, ini bererti PKNP FC sudah mempunyai khidmat dua pemain import selepas mengikat pemain Ghana, Tommy Abbey.

Abu Bakar juga berpuas hati dengan persembahan Hafiz Kamal dan Hafiz Ramdan yang diturunkan dalam perlawanan itu.

"Bagi pemain yang sudah berehat panjang, kedua-dua pemain berpeluang menunjukkan kemampuan tinggi masing-masing.

"Mereka tampak yakin dalam pergerakan dan hantaran biarpun beraksi dalam tempo permainan yang tinggi dan kompetitif," katanya.

Abu Bakar berkata dia akan terus menguji pemain, terutama dalam pencarian dua pemain import di bahagian serangan.

"Kami telah mencuba pemain dari Perancis, Nigeria dan Jerman dan akan meneliti kebolehan mereka dalam latihan dan perlawanan akan datang ketika bertemu Felda United, Sabtu ini," katanya.