Tugas PKNP FC bertambah sukar bagi pertemuan dengan Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini apabila akan turun tanpa khidmat tiga pemain tonggak, iaitu Hafiz Ramdan, serta dua import, Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez.

Khidmat ketiga-tiga pemain itu terpaksa dilupakan ekoran kecederaan dan penggantungan.

Aguinaldo dan Rodriguez sedang menjalani penggantungan akibat mengutip tiga kad kuning.

Ketiadaan mereka sudah pasti akan menjejas skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu, yang turut kehilangan khidmat Thomas Abbey gara-gara kecederaan kaki.

Abu Bakar sebelum ini dijanjikan kehadiran seorang penyerang import baru selewat-lewatnya hari ini tetapi sehingga petang ini, pemain itu masih tidak muncul.

"Nampaknya, PKNP terpaksa bermain dengan dua tenaga import sahaja malam ini, iaitu Yashir (Pinto Islame) dan Pedro (Victor Calil Sandoval).

"Apapun, perjuangan tetap diteruskan dan saya yakin pemain lain bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.

"Kami akan terus memberikan saingan kepada Selangor.

"Memang perlawanan ini pasti sukar tetapi tiada yang mustahil," ujarnya.