PKNP FC mendapatkan pemain import ketiganya apabila mengikat Yashir Islame Pinto, hari ini.

Pemain pasukan kebangsaan Palestin kelahiran Chile itu menandatangani ikatan selama setahun di hadapan Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

"Saya ingin maklumkan bahawa PKNP FC sudah mendapat khidmat pemain import ketiga, iaitu Yashir Pinto.

"Pinto bukan asing dalam kancah Liga Malaysia kerana pernah mewakili Melaka United pada 2016 dan Perak pada 2017.

"Kehadirannya sudah tentu menyemarakkan lagi semangat PKNP FC.

"Kami dalam proses mengikat pemain yang keempat, iaitu dari Senegal, dalam tempoh terdekat.

"Dia sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan jika lulus, dia akan mengikat kontrak, " katanya.

Zainol berkata PKNP FC akan menggunakan empat pemain import sahaja buat sementara waktu dan akan mendapatkan pemain kelima jika perlu.

Presiden PKNP FC itu yang juga penasihat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya juga sudah mendapat pelepasan untuk mengikat Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

"Mereka bukan lagi dipinjamkan tetapi menjadi pemain tetap PKNP FC," katanya.