PKNP FC melancarkan pas semusim bagi menarik penyokong datang menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) musim ini.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata pas semusim grandstand berharga RM150 manakala bagi tempat duduk terbuka pula RM80.

Setiap pembelian pas semusim itu akan diberikan satu tiket ke Studio Movie Animasi (MAPS) secara percuma.

Pemilik pas berkenaan berpeluang menonton lebih kurang 18 perlawanan sepanjang musim ini.

Zainol berkata matlamat PKNP ialah untuk menarik sokongan penonton, terutama di daerah Manjung, untuk hadir ke stadium bagi menyokong pasukan itu.

Beliau yakin ramai penonton akan hadir berdasarkan sokongan padu semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang diadakan di stadium itu.

"Kami mengharapkan sokongan yang sama diberikan kepada PKNP FC.

"Kehadiran Hafiz Kamal juga dijangka dapat menarik sokongan orang Pantai Remis," ujarnya.

Majlis pelancaran pasukan itu akan diadakan di Stadium MPM pada 30 Januari ini, bermula jam 8.30 malam.