Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengakui pemburuan tiga mata penuh tetap menjadi agenda utama dalam pertemuan menentang Selangor malam ini walaupun mereka sudah mencapai matlamat kekal dalam Liga Super musim depan.

PKNP, yang tampil buat kali pertama dalam Liga Super tahun ini, berjaya menyerlahkan kemampuan mereka untuk bersaing bersama pasukan utama liga tempatan walaupun sekadar dibarisi pemain muda tidak ternama.

Ia dibuktikan menerusi kejayaan pasukan itu mengesahkan tempat dalam Liga Super musim depan ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan sebelum ini.

Ketika ini, mereka berpeluang untuk menamatkan kempen Liga Super 2018 di kelompok pertengahan liga jika berupaya meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir, termasuk bertemu Selangor di Stadium Perak, malam ini.

"Kami akan memberikan tekanan kepada Selangor kerana PKNP akan berusaha meraih tiga mata dalam perlawanan ini," kata Abu Bakar.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengakui PKNP adalah lawan yang sukar untuk dijinakkan selepas pasukannya dinafikan tiga mata penuh ketika pertemuan pertama di laman sendiri, Mei lalu.

Dalam perlawanan itu, Selangor yang mendahului hasil jaringan Rufino Segovia, terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas Hafiz Ramdan meledak gol penyamaan PKNP pada masa kecederaan.

"Percaturan Abu Bakar berhasil buat PKNP dan mereka merupakan pasukan yang mampu mencipta kejutan. Kami akan menggunakan peluang sebaik mungkin dalam perlawanan ini untuk menghasilkan kemenangan," kata Nazliazmi.