Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, bimbang pasukan itu akan menjadi dibaham juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Larkin, Sabtu ini berikutan kepincangan benteng pasukan itu.

Kebimbangan Abu Bakar berdasarkan kekalahan 0-3 kepada Pahang di tempat sendiri, Sabtu lalu.

"Jika itulah corak yang dipamerkan, saya pasti kami akan dibelasah JDT pula.

"Mereka adalah pasukan terbaik negara dan kami akan menghadapi masalah jika melakukan kesilapan-kesilapan mudah," katanya.

Abu Bakar berkata dia akan berusaha meningkatkan keyakinan anak buahnya terutama pemain di bahagian benteng untuk menghadapi ujian getir nanti.

"Ini ujian paling getir buat PKNP FC kerana bertemu lawan handalan.

"Suka atau tidak, pemain kena berikan kesungguhan dan persembahan terbaik mereka untuk mengelak menjadi mangsa JDT, " katanya.

Jurulatih itu berharap barisan pemain PKNP FC tidak beraksi di bawah tahap seperti yang berlaku ketika bertemu skuad Tok Gajah.

"Mereka tidak mempamerkan aksi seperti biasa gara-gara terlalu menghormati pemain lawan.

"Jadi, saya harap anak buah saya akan turun dengan tekad tinggi biarpun memang mustahil kami mampu melakukan sebarang kejutan di Larkin, " tambahnya.

-habis -