Skuad PKNP FC akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai gelanggang tetapnya dalam kancah Liga Malaysia musim 2019.

Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berkata selepas terpaksa beraksi di luar Perak musim lalu, iaitu Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pemilihan Stadium MPM adalah bertepatan.

Menurutnya, Stadium MPM yang baru telah dinaik taraf sempena Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, menjadikannya gelanggang yang sesuai.

Justeru, Abu Bakar bersetuju apabila Presiden PKNP, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, mencadangkan agar mereka berpindah gelanggang ke Seri Manjung.

Langkah itu bertujuan untuk tidak menganggu jadual pasukan Perak yang akan terbabit dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Abu Bakar berpendapat skuad Perak lebih memerlukan penggunaan Stadium Perak berbanding PKNP sendiri dan dia yakin dengan beraksi di Stadium MPM juga akan memberi peluang kepada rakyat Perak, khususnya penyokong pasukan itu, menyaksikan perlawanan.

"Memang lain bila bermain di negeri sendiri daripada beraksi di negeri orang.

"Jadi, dengan kami beraksi di Manjung, penduduk di daerah sini berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak bertaraf tinggi, " katanya.