"Pesuruhjaya Sukan (PJS) jangan masuk campur dulu."

Demikian reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, sambil menegaskan persatuan itu perlu diberikan peluang untuk menyelesaikan masalah dalaman tanpa sebarang campur tangan daripada pihak lain.


Nokman berharap PJS akan lebih proaktif dalam usaha menyelesaikan kemelut dalaman KLFA.

Tegasnya, tindakan PJS, yang mendesak untuk mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan tanpa memberikan peluang buat KLFA menyelesaikan sendiri kemelut dalaman itu, hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Tindakan beberapa ahli gabungan KLFA membuat aduan secara terus kepada PJS juga melanggar perlembagaan KLFA berdasarkan Artikel 64 perenggan berkaitan bidang kuasa.

Sekiranya terdapat isu atau rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka, ia perlu melalui KLFA terlebih dahulu.

"Ia sebenarnya disebabkan beberapa ahli gabungan telah membuat laporan kepada PJS.

"Sebenarnya, sebarang laporan perlu dibincangkan secara dalaman dan tidak perlu campur tangan daripada pihak luar.

"Tindakan mereka itu telah menyalahi statut (KLFA).

"Statut menyatakan sebarang pertelingkahan yang berlaku perlu diselesaikan secara dalaman.

"Mereka perlu hantarkan surat kepada persatuan tentang ketidakpuasan hati mereka dan menyertakannya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga.

"Namun, mereka terus membuat laporan kepada FAM dan PJS, jadi ia salah," katanya.

Tambah Nokman, KLFA bersedia untuk melakukan pembentangan kewangan tahunan mereka bagi tahun 2017 dalam masa terdekat.

Ia seterusnya akan disusuli dengan pembentangan kewangan tahun 2018 sebelum EGM dapat diadakan selewat-lewatnya November depan.

"Kami mungkin akan mengadakannya selepas kejohanan berakhir.

"Ia mungkin diadakan pada awal November," tambahnya.