PJBM sedia taja jurulatih tempatan dapatkan lesen

Oleh Staff Writer 25 September 2018 708
PJBM sedia taja jurulatih tempatan dapatkan lesen
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, menganggap usaha menggilap jurulatih tempatan berkualiti lebih baik daripada mengambil jurulatih luar yang tidak diketahui jelas kualiti yang dimiliki.

Isu keupayaan sebenar jurulatih luar terus membelenggu kelab dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sehingga mengganggu perancangan awal musim yang akhirnya mendedahkan kesukaran pada penghujung saingan liga.

Sathianathan berhasrat mengecilkan isu ini dengan mengetengahkan jurulatih tempatan kepada lesen profesional selain mengharapkan kelibat mereka mampu diberi peluang oleh kelab dan persatuan negeri.

"Kalau jurulatih tempatan tidak ramai, maka jurulatih luar akan datang ke negara kita. 

"Mereka (jurulatih luar ini) mungkin adalah tukang kasut di Brazil tetapi dengan sijil yang dikemukakan, mereka boleh melatih pasukan di sini.

"Itu yang kita tidak mahu, jurulatih yang datang ke sini mestilah seorang yang pakar," kata Sathianathan. 

Bagi menyelaraskan hasrat itu, pihak PJBM sedia memberikan khidmat bantuan pinjaman kewangan kepada individu yang berminat memandangkan kos perbelanjaan untuk lesen profesional hampir mencecah RM60,000.

"Lesen profesional ini melibatkan kos yang tinggi. 

"Saya diberitahu ia mencecah RM60,000 seorang untuk kursus selama dua tahun. 

"Kami cuba memberi pinjaman mahupun subsidi kepada jurulatih tempatan," tambahnya. 

Dalam masa sama, PJBM turut menerima sumbangan peribadi daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebanyak RM10,000 dan daripada FAM pula sebanyak RM20,000 ketika merasmikan Seminar Pembangunan Bola Sepak Belia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen