Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya, tidak mahu lagi memanaskan bangku simpanan, sebaliknya melaungkan keazaman untuk memimpin The Red Warriors (TRW) menumpaskan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Katanya, Kelantan tidak mampu lagi menerima kekalahan selepas sekadar memungut satu mata daripada tiga perlawanan awal liga.

"Saya cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan jurulatih, Yusri (Che Lah), untuk beraksi menentang Perak, malam ini.

"Tidak sabar untuk turun kali pertama selepas diketepikan dalam tiga perlawanan sebelum ini," katanya.

Piya juga menegaskan semua pemain berjanji untuk bangkit semula selepas dimalukan Pahang 3-0 di Kuantan dan mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia TRW.

"Kami sudah lupakan (kekalahan dengan Pahang) dan mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia yang berdiri teguh di belakang pemain," katanya.

Mengulas kehadiran bekas penyerang berbisa TRW, Mohammed Ghaddar, Piya yakin kelibat penyerang kelahiran Lubnan itu mampu mengatasi ketumpulan jentera serangan Kelantan sebelum ini.

"Dia (Ghaddar) masih seperti dahulu. Lincah dan cukup berbisa di depan gol.

"Saya juga akan cuba mencari jaringan peribadi pertama malam ini," katanya.

Kemenangan ke atas skuad kendalian Mehmet Durokovic itu mampu mengeluarkan TRW dari dasar carta Liga Super tetapi jika gagal, Kelantan bakal mendapat ketua jurulatih baharu.