Pinto selamatkan maruah PKNP

Oleh Azizan Hashim 13 Julai 2019 2452
Pinto selamatkan maruah PKNP
PKNP FC 1 FELDA UNITED 1

Jaringan Yashir Pinto menyelamatkan PKNP FC daripada kekalahan di tangan Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Pemain itu menyudahkan peluang yang diperoleh PKNP FC pada minit ke-80 untuk memadamkan kelebihan pelawat.

Felda United mendahului melalui jaringan S Chanturu pada minit ke-52 untuk membuka peluang menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

Segar daripada kemenangan ke atas Kuala Lumpur beberapa hari lalu, anak buah Nidzam Jamil itu tampak mampu mengulangi kejayaan bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah kendalian Abu Bakar Fadzim itu, yang terkenal dengan semangat juang kental, sekali lagi membuktikan perwatakan mereka.

Dalam perlawanan di antara dua pasukan calon penyingkiran itu, kedua-dua pasukan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan tetapi tidak berjaya.

Dengan keputusan itu, kedua-dua pasukan perlu menunggu hingga ke perlawanan terakhir untuk mengetahui nasib masing-masing.

Felda United akan bertemu Pahang dan Kedah manakala PKNP FC akan berdepan Petaling Jaya City dalam perlawanan terakhirnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen