Terengganu FC (TFC) II mara ke pentas final Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar (MB) Terengganu apabila menewaskan Melaka United 4-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abdul Wahab itu hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menerusi Muhammad Aliff Fitri Jefri yang mudah menanduk masuk sepakan penjuru Mohd Fakhrurazi Musa.

Kelekaan pertahanan Melaka dihukum lagi pada minit ke-12 selepas hantaran ke belakang cuba dikawal penjaga gol, Zamir Selamat, namun dirampas Akanni Sunday Wasiu untuk jaringan kedua TFC II.

Seminit kemudian, Sebastian Thuriere menjadikan kedudukan 3-0 buat tuan rumah hasil sepakan leret dari luar kotak penalti sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Selepas rehat, Melaka dihadiahkan sepakan penalti apabila Mohd Fakri Saarani dijatuhkan Mohd. Hasbullah Awang yang tenang disempurnakan Tiago Filipe Figueiras pada minit ke-46.

Tuan rumah terus cemas dengan Melaka menjadikan kedudukan 3-2 melalui R. Surendran yang melakukan tindakan akhir dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol TFC II (m-58).

Pemain import Melaka, Yahor Zubovich, akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 apabila dengan bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Suhaimi Husin.

Aksi semakin rancak apabila TFC II kembali di depan tiga minit kemudian selepas gerakan Mohd Fakhrurazi disudahkan Mohd Ridzuan Razali dan kedudukan 4-3 kekal sehingga tamat permainan.

Menanti TFC II dalam final malam esok ialah skuad abang, TFC, sebagai dua pasukan terbaik daripada tiga perlawanan di peringkat kumpulan.