Selepas gagal menyelamatkan skuad bimbingannya daripada tersingkir ke Liga Perdana, jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, belum mahu berputus asa memastikan bekas pasukan digeruni itu layak beraksi dalam Piala Malaysia, bulan depan.

Bagaimanapun, Yusri mengakui tugas berat menantinya dalam perlawanan terakhir berdepan Pahang di Kota Bharu, Sabtu ini, tatkala turut menanti keputusan perlawanan Negeri Sembilan dan Melaka United, sehari sebelum itu.

Malah, statusnya juga masih samar sambil menyifatkan bersedia menerima apa jua keputusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selain menganggapnya asam garam dalam dunia bola sepak.

"Sebagai jurulatih, saya tidak akan berkecil hati andai pihak majikan memutuskan tidak memerlukan khidmat saya untuk mengendalikan Kelantan lagi.

"Banyak 'drama' dan 'filem' berlaku dalam KAFA tahun ini. Saya harap 'filem' yang terakhir akan menghadirkan senyuman dan Kelantan layak ke Piala Malaysia," kata bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Kelantan tunduk 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi 'derby' Pantai Timur, malam tadi, dan Yusri menyifatkan pemain-pemainnya turut tewas dengan pengalaman pasukan lawan.

Corak agresif dipamerkan TFC juga menyaksikan skuad muda Kelantan memberikan terlalu banyak ruang dan membenarkan pemain lawan bergerak bebas hingga mengundang kesilapan mudah pemainnya.

"Jaringan Terengganu pada minit terakhir babak pertama juga telah membunuh semangat kami untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata," tambahnya.