Selepas mencapai misi mempertahankan kejuaraan Liga Super 2018, misi seterusnya musim ini untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah menambah satu lagi trofi kejuaraan, iaitu Piala Malaysia.

Ia merupakan satu dominasi unggul oleh JDT dalam saingan liga tempatan untuk musim ini. Daripada 20 perlawanan diharungi setakat ini, mereka menang 17 perlawanan, seri dua kali dan hanya tumpas sekali.

Aksi membelasah Kelantan 4-0 malam tadi menceritakan keunggulan Harimau Selatan, seterusnya dijulang sebagai juara untuk kali kelima berturut-turut.

Tumpuan JDT selepas ini sudah pasti adalah untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

"Kami sudah merangkul Liga Super, kami perlu melihat kepada masa depan.

"Kami memiliki ramai pemain tempatan yang berbakat dan membantu mereka meningkatkan prestasi.

"Kami akan cuba membawa pulang Piala Malaysia pada masa yang tepat," kata jurulatih JDT, Raul Longhi.

Di kem Kelantan, jurulatihnya, Yusri Che Lah jelas hampa apabila tewas setelah anak buahnya beraksi baik dalam separuh masa pertama.

Kekalahan ini juga menyaksikan ranapnya harapan The Red Warriors (TRW) untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan dengan saingan kini berbaki dua perlawanan, apatah lagi berdepan tugas perit menentang Terengganu dan Pahang.

"Satu tugas yang cukup, cukup, cukup sukar tetapi saya harus menjalankan amanah yang diberikan supaya pemain sedar apa yang berlaku di Larkin memberikan pengajaran cukup berguna," kata Yusri.

Sementara itu, suasana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, bagaikan satu pesta bagi meraikan kejayaan JDT menjulang trofi Liga Super.

Sejurus tamat perlawanan menentang Kelantan, majlis penyerahan trofi diadakan sambil disaksikan hampir 22,000 penyokong setia tuan rumah.

Setelah itu, barisan pemain dan pegawai JDT menaiki bas dan berarak menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Majlis turut dimeriahkan dengan percikan bunga api dan ucapan kemenangan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Semua orang tahu untuk melakukannya secara lima kali berturut-turut memang sukar.

"Saya bangga dengan JDT dan peminat," kata tonggak JDT, Safawi Rasid.

Sementara itu, penyerang, Darren Lok, menegaskan JDT sememangnya berhak untuk dinobatkan juara atas usaha gigih mereka.

"Ini satu kejayaan yang bagus, JDT layak untuk menang. JDT mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan seperti malam ini.

"Kami mahu meraikan kejayaan ini."