Tonggak muda Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, mengakui rehat yang secukupnya mampu membantu skuad warga kota itu mencapai kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila bertemu Felda United, esok.

Irfan kembali menjalani latihan bersama Kuala Lumpur selepas beraksi untuk skuad bawah 22 tahun negara dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok baru-baru ini.

Beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut ketika kempen kelayakan itu, pemain kelahiran Cheras ini sudah pasti kepenatan untuk kembali ke gelanggang.

Begitupun, Irfan menyuarakan pandangan sebaliknya apabila sudah bersedia untuk membawa cabaran skuad warga kota untuk saingan Piala Malaysia menentang The Fighters.

"Saya sangat gembira untuk kembali bersama Kuala Lumpur dan beraksi dalam perlawanan akan datang. Saya telah berehat selama dua hari dan bersedia untuk memberikan yang terbaik" katanya.

Selepas beraksi sebagai pertahanan bersama skuad muda negara, Irfan dijangka kembali ke posisi asalnya sebagai pertahanan tengah.

Kuala Lumpur perlu memenangi perlawanan esok bagi menghidupkan persaingan setelah sekadar mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan.

"Kami memiliki kelebihan kerana Felda baru sahaja beraksi semalam dan kami akan cuba mendapatkan tiga mata penuh."