Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, mahu skuad Tambadau memulakan kempen Liga Super nanti dengan keputusan positif bagi memastikan mereka mendapat momentum untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Apa yang saya tekankan di sini pasukan kita mestilah menyediakan diri mereka untuk sekurang-kurangnya mengutip mata awal bagi membolehkan kedudukan dan semangat kita berada di kedudukan ataupun momentum yang baik bagi mengharungi aksi seterusnya, sama ada di tempat sendiri mahupun di tempat lawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan pemain skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Sabah bagi tahun 2020, di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Peter berharap penyokong pasukan itu akan terus membantu pasukan sebagai pemain ke-12 dengan memberi sokongan padu sama ada ketika pasukan berkenaan beraksi di gelanggang sendiri atau pun di tempat lawan.

Bagaimanapun, kata beliau, SAFA akan mengutamakan aspek keselamatan di samping disiplin para penyokong dan pasukan Tambadau sendiri dalam setiap perlawanan di Stadium Likas.

"Kita sebenarnya alu-alukan penyokong-penyokong datang tetapi apa yang kita utamakan di dalam stadium ialah keselamatan di samping disiplin kita sebagai tuan rumah.

"Ianya secara langsung menggambarkan bukan sahaja imej negeri tetapi juga pasukan kita iaitu mempunyai sikap yang begitu baik dan berdisiplin untuk pasukan lawan … Kita tidak mau unsur-unsur seperti keganasan berlaku," katanya.

Peter berkata, apa saja usaha untuk pembangunan bola sepak Sabah akan dipertimbangkan pihaknya secara baik walaupun terdapat banyak bantahan daripada awal pembentukan skuad Tambadau.

"Tetapi itu sebenarnya bukanlah masalah bagi Safa kerana apa yang penting usaha kita sama-sama membangunkan bola sepak negeri seterusnya mendapatkan sekurang-kurang satu piala pada tahun ini," katanya.