Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias, menyifatkan persaingan sihat di antara dirinya dan Izham Tarmizi dalam perebutan tempat kesebelasan utama berjaya memberikan kesan positif buat pasukan.

Musim ini menyaksikan pengendali JDT, Benjamin Mora, kerap melakukan pertukaran pemain dalam kesebelasan utama, termasuk posisi penjaga gol.

Farizal turun selaku pilihan utama ketika berdepan Melaka pada Ahad lalu dan dijangka akan diturunkan apabila berdepan Kelantan malam ini.

Bagi Farizal, tiada masalah buatnya dengan pendekatan Mora menggilirkan tugas penjaga gol utama di antara dirinya dan Izham.

"Persaingan di antara diri saya dan Izham adalah sesuatu yang positif buat pasukan. Saya berharap siapa yang dipilih untuk beraksi mampu memberikan yang terbaik," kata Farizal.

Dalam pada itu, Mora menjelaskan beliau memastikan setiap pemain, termasuk penjaga gol, mendapat waktu bermain.

"Ini bukan disebabkan kesilapan atau keperibadian mereka. Izham merupakan pemain yang baik, namun kami mempunyai tiga penjaga gol dan mereka perlu bermain kerana selepas ini kami mempunyai banyak perlawanan untuk ditempuhi," jelas Mora.