Disebabkan beberapa isu berkaitan pelesenan yang masih gagal diselesaikan, Sarawak mungkin terpaksa mengucapkan "selamat tinggal" kepada Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, berkata mereka tidak ada pilihan memandangkan pentadbir pertandingan, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLPP), memberi tempoh hingga 16 Oktober ini untuk persatuan itu menghantar dokumen dan menyelesaikan hutang tertunggak bagi membolehkan lesen diperbaharui.

"Tanpa lesen, kami tidak akan dibenarkan menyertai mana-mana pertandingan," katanya.

Hutang-hutang badan berwajib itu pula, katanya, membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kata Posa, masalah yang dialami pihaknya sekarang ialah mereka tidak tahu-menahu dan tidak ada kuasa untuk mengetahui akan amaun hutang tertunggak itu.

"Ini kerana ia diuruskan oleh pengurusan lama, iaitu FAS FMG Sdn Bhd, dan dokumen berkaitan berada dalam simpanan mereka," katanya dalam sidang media khas selepas mesyuarat exco persatuan itu sebentar tadi.

Difahamkan, jumlah hutang tertunggak itu menjangkau hampir RM1 juta.

Menurutnya lagi, pihaknya hanya dapat menyediakan laporan kewangan sementara yang diminta FMLPP, dari bulan Januari hingga Jun tahun ini, seperti yang dikehendaki.

"Selebihnya, laporan kewangan beraudit untuk tempoh 2012 hingga 2016 kami tidak miliki.

"Kami pun tidak pasti jika mereka memiliki wang untuk membayar tunggakan terbabit."

Tambahnya, beliau hanya menyertai persatuan itu pada Januari lalu dan hanya dapat bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku sejak beliau mengambil alih.

"Itu pun kita telah membayar kompaun mencecah puluhan ribu ringgit berkait hutang-hutang ini.

"Perbincangan dengan pengurusan FAS FMG Sdn Bhd telah dilakukan pada 11 September lalu dan mereka bersetuju untuk menyelesaikan hutang-piutang mereka manakala pihak kami menanggung segala hutang atas nama FAS."

FAS FMG Sdn Bhd didaftarkan pada 17 Disember 2008 dan pengerusinya ialah bekas presiden persatuan itu, Datu Sudarsono Osman.

Justeru, FAS akan merayu kepada FMLPP bagi memohon penangguhan notis sebelum 16 Oktober ini kerana isu yang dialami oleh persatuan itu agak rumit.

"Kami mahu perkara ini diselesaikan sebaik mungkin, termasuk laporan audit yang teratur.

"Dan ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu," katanya lagi.