Perjuangan masih belum selesai buat barisan pemain Kelantan dalam mencapai misi mustahil mengelakkan tersingkir daripada Liga Super musim depan meskipun membenam Selangor 2-1, semalam.

Kelantan dan Negeri Sembilan adalah dua pasukan tercorot Liga Super ketika ini.

Dengan berbaki hanya empat perlawanan, tidak banyak harapan diberikan untuk kedua-dua pasukan, khususnya Kelantan, yang bergelut dengan masalah prestasi.

Meskipun berjaya menewaskan Selangor, perjalanan Kelantan selepas ini dijangka penuh berliku dalam usaha untuk mencuri mata daripada lawan untuk kekal dalam kancah Liga Super.

Empat pasukan yang bakal membuat perhitungan dengan Kelantan selepas ini adalah Melaka, kemudian juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT), seterusnya Terengganu dan yang terakhir adalah juara Piala FA 2018, Pahang.

"Saya sering memotivasikan pemain saya, selagi belum muktamad turun ke Liga Perdana, dari situ kami akan terus mengejar setiap peluang dan ruang," kata pengendali Kelantan, Yusri Che Lah.

Penyerang Kelantan, Shafiq Shaharudin, pula berkata: "Kami sepasukan akan buat yang terbaik untuk kekal.

"Tiada masalah untuk kekal, bola itu bulat. Kalau ada rezeki, kami akan kekal."

Bagi Selangor, kekalahan itu adalah satu pengajaran buat mereka agar tidak bersikap sambil lewa serta memandang mudah cabaran pasukan yang dianggap lemah.

"Ada kemungkinan setiap pemain ambil mudah kerana menyedari kedudukan Kelantan di bawah, kami tidak ambil kesempatan itu," kata penolong jurulatih Selangor, Rusdi Suparman.