Exco Generasi Muda dan Sukan Selangor, Amirudin Shari, menjelaskan PKNS FC berkemungkinan bertindak sebagi kelab sokongan kepada Selangor, namun semuanya bergantung kepada pendirian Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang bakal mengisi jawatan presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Amirudin menyambut baik kehadiran Tengku Amir Shah yang memudahkan proses kerjasama di antara kerajaan negeri untuk menyokong kembali bola sepak Selangor.

Selain sedia berunding semula mengenai penggunaan Stadium Shah Alam dalam visi memfokuskan kekuatan Selangor sepenuhnya, Amirudin belum pasti masa depan PKNS.


"Kami sedang meneliti modul-modul lain. Sebagai contoh, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu yang diletakkan sebagai satu entiti.

"Sebelum ini, Selangor juga ada modul sama yang menyaksikan 'feeder' kelab mempunyai kebebasan masing-masing.

"Saya percaya (langkah ini) telah ada di dalam fikiran Raja Muda Selangor sebaik mengambil alih jawatan itu bulan depan.

"Pihak kerajaan negeri sedia menyalurkan pandangan kami supaya kami dapat mencapai keputusan terbaik," kata Amirudin.

Buat masa ini, masih belum ada kata putus daripada Tengku Amir Shah dalam soal itu tetapi ia kekal sebagai salah satu pilihan utama berdasarkan modul yang dibina JDT dan Terengganu.

Amirudin turut menjelaskan sokongan kepada Tengku Amir Shah bukan bermakna kerajaan negeri akan menyediakan dana puluhan juta ringgit seperti sebelum ini.

Sebaliknya, kerajaan negeri akan memberi sokongan melalui cara lain, termasuk ke arah penswastaan pasukan dan pembangunan akar umbi.

"Sudah sampai masanya pasukan dalam Liga Malaysia berdiri dengan kaki sendiri supaya mereka mempunyai keupayaan pengurusan dan tidak bergantung kepada dana negeri dan mana-mana pihak sahaja.

"Saya percaya ini juga menjadi aspirasi kepada presiden baru nanti dan kami akan merangka.

"Mungkin ia bukan suatu bentuk bantuan yang boleh mereka bergantung selama-lamanya, sebaliknya bantuan yang akan menjana pendapatan mereka pada masa depan," tambahnya.