Tanpa sebarang kemenangan setakat ini, Perak meningkatkan ikhtiar mempertajamkan jentera serangan dalam usaha memburu kemenangan ke atas Petaling Jaya City (PJC) FC, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata tempoh latihan sejak kembali dari Terengganu, Ahad lalu, digunakan untuk meningkatkan penyudah pasukan.

"Kami terlepas tiga mata dalam perlawanan dengan Terengganu kerana gagal menyudahkan beberapa peluang ketika mendahului 1-0.

"Jika berjaya, sudah pasti kami menang perlawanan itu sekurang-kurangnya 2-1.

"Oleh itu, pemain menggandakan usaha untuk mempertajamkan diri," kata Durakovic.

Jurulatih itu berkata tidak ada apa masalah dengan anak buahnya kerana mampu mencipta peluang.

"Nasib nyata belum menyebelahi Perak setakat ini. Kami mencipta dua atau tiga peluang tetapi gagal diterjemahkan. Begitu juga ketika bertemu Kedah dan Felda United sebelum ini yang turut berkesudahan seri 1-1.

"Ketika menentang Terengganu pula, penalti di minit-minit akhir menjadi faktor kami terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas mendahului lawan.

"Bagi saya, ia tetap pencapaian baik, tambahan pula Perak beraksi cemerlang dalam perlawanan itu," ujarnya.

Jurulatih dari Australia itu berkata Perak wajib menang perlawanan dengan PJC bagi meredakan ketegangan dalam kalangan netizen dan penyokong setia pasukan The Bos Gaurus itu yang menanti kemenangan pertama.