PERAK 0 PAHANG 1

Perak mengalami kekalahan pertama di gelanggang sendiri selepas tumpas 0-1 kepada Pahang di Ipoh, sebentar tadi.


Kekalahan itu juga merupakan yang kedua dalam saingan Liga Super, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali pasukan, Mehmet Durakovic.

Jaringan Harold Mark Goulon pada minit ke-56 sudah mencukupi buat anak buah Dollah Salleh itu meraih mata penuh untuk kekal di tangga kedua bagi meneruskan tekanan terhadap pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sebaliknya, tekanan terus memuncak buat skuad The Bos Gaurus itu yang kini menduduki kedudukan kesembilan Liga Super.

Dalam perlawanan seimbang di Stadium Perak itu, The Bos Gaurus turun tanpa tiga tonggak import, Gilmar Jose Da Silva, Zac Anderson dan Leandro Dos Santos, yang mengalami kecederaan dan penggantungan.

Pahang juga tidak menurunkan penyerang utama, Dickson Nwakaeme, gara-gara kecederaan paha.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan, namun dikecewakan dengan ketumpulan penyudah.

Tok Gajah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhamad Nor Azam Azih diperintahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-71 sebelum mempertahankan kelebihan sehingga ke wisel penamat.

KEPUTUSAN LIGA SUPER:

JOHOR DARUL TA'ZIM 3 PKNS FC 1
KUALA LUMPUR 1 PETALING JAYA CITY 0
SELANGOR 2 PKNP FC 1