PERAK 2 MELAKA 3

Impian Perak untuk mengutip mata penuh tidak kesampaian selepas tersungkur 2-3 kepada Melaka dalam saingan Liga Super di Ipoh, sebentar tadi.


Dua jaringan Patrick Reichelt dan satu daripada Mohd Nazrin Nawi sudah mencukupi untuk pelawat pulang ceria dengan mengutip mata penuh.

Kekalahan itu pula adalah yang ketiga buat anak buah Mehmet Durakovic yang turun ke tangga kelapan berikutan kemenangan PKNS FC dalam satu lagi perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Perak itu, pelawat menyerbu garang ke kubu Perak dengan pemain import baru, Nguessan Davy Claude Angan, kerap memberikan ancaman.

Bagaimanapun, bertentangan dengan arus perlawanan, Brendan Gan membuka jaringan buat tuan rumah apabila sepakan leretnya dari luar kotak penalti menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-18.

Namun, Nazrin menceriakan kem pelawat lima minit kemudian apabila menewaskan Khairul Amri dengan sepakan percuma lencong pada minit ke-23.

Reichelt kemudian menghukum kealpaan benteng Perak apabila mudah menggelecekkan Nazirul Naim Che Hashim untuk menolak ke dalam gawang kosong pada minit ke-45 untuk Melaka mendahului 2-1 pada waktu rehat.

Perak menekan hebat dalam babak kedua dan pemain gantian, J. Partiban, menyamakan kedudukan pada minit ke-57 hasil sepakan bebas Nazirul.

Jangkaan untuk Perak mampu sekurang-kurangnya mengutip satu mata tidak menjadi kenyataan apabila Reichelt mudah menolak masuk bola muntah daripada Khairul Amri pada minit ke-74.

Walaupun Perak melancarkan serangan berhabis-habisan, The Bos Gaurus tetap gagal mendapatkan gol yang diharap-harapkan.

KEPUTUSAN LAIN:

PKNS FC 3 PETALING JAYA CITY FC 0