Kegagalan mengutip mata penuh setelah sekadar seri 0-0 menentang Kedah di Ipoh semalam menyaksikan Perak perlu menang perlawanan terakhir bertemu PKNS FC di Shah Alam sekiranya mahu memastikan gelaran naib juara Liga Super, musim ini.

Perak kini masih berada di kedudukan kedua dengan 36 mata, namun diekori rapat Pahang dengan 34 mata dan masing-masing berbaki satu perlawanan manakala Terengganu juga masih berpeluang untuk mencabar jika mencatat kemenangan menentang Kelantan malam ini.

Semalam, walaupun pasukan pelawat, Kedah, turun pincang tanpa kehadiran ramai pemain utama, Perak perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyumbat jaringan.

"Kami memberi asakan, namun Kedah kental bertahan. Pemain muda yang diturunkan mereka bermain
cemerlang semalam. Apa hendak dikata, inilah bola sepak.

"Nampaknya penyelesaian tugasan untuk berada di tempat kedua liga perlu dilaksanakan di Shah Alam ketika menentang PKNS dalam perlawanan terakhir," ujar pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Sementara itu, Kedah berpuas hati mengutip satu mata di Ipoh kerana sedar kesebelasan yang diturunkan semalam adalah barisan pemain muda kurang berpengalaman.

"Keputusan ini memberi kami nafas apabila bertemu PKNP di Stadium Darulaman nanti. Jika menang,
kedudukan semasa akan berubah dan tentunya lebih baik berbanding musim lalu," ujar pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin.