Keupayaan PJ City FC bangkit meledak lima gol selepas ketinggalan 3-0 kepada Terengganu FC sebelum ini cukup untuk meresahkan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Bagi Durakovic, apa yang berlaku dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu, 4 Mei lalu itu harus menjadi ingatan kepada pasukan The Bos Gaurus.

"PJ City ternyata bukan calang-calang pasukan. Bagi sesebuah pasukan yang mampu bangkit meledak lima gol selepas lawan mendahului 3-0 bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh," katanya.

"Saya berharap pemain Perak mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku di Kuala Terengganu itu."

Durakovic juga berharap anak buahnya berupaya bangkit selepas mengalami kejutan di tangan Melaka apabila tumpas 2-3 kepada anak buah Zainal Abidin Hassan itu di Ipoh pada 25 Mei lalu.

"Saya berharap pemain mampu melupakan kekalahan itu selepas hampir tiga minggu," tambahnya.

"Pemain kena pandang ke hadapan dan bangkit dalam baki tujuh perlawanan kami."

Justeru, dia perlu menurunkan barisan terkuat bagi memastikan impian mengutip mata penuh tercapai kali ini.

Durakovic juga berharap pemain Perak tidak melakukan kesilapan yang menyaksikan mereka mensia-siakan peluang memenangi perlawanan seperti yang berlaku dalam lapan perlawanan sebelum ini.

"Kami kehilangan banyak mata gara-gara kesilapan menyebabkan pasukan berada di kedudukan kelapan setakat ini.

"Jika menang lima daripadanya bererti tambahan 10 mata. Kami akan menduduki tangga kedua dengan 28 mata.

"Apa pun, usah dikenang benda yang berlalu. Lupakanlah. Saya berharap pemain usahakan pencapaian terbaik dalam baki perlawanan," katanya lagi.