Perak lonjak ke tangga keempat

Oleh Staff Writer 15 April 2018 9839
Perak lonjak ke tangga keempat
PKNP FC 1 PERAK 2

Perak memastikan maruahnya tidak tercalar berdepan 'pasukan adik', PKNP FC, apabila meraih kemenangan 2-1 dalam Liga Super di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam ini.


Wander Luiz menjaringkan gol peribadi keenam musim ini untuk membawa Perak mendahului perlawanan pada minit ke-19.

Pemain kelahiran Brazil itu merembat dari jarak jauh selepas bola tumbukan penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraf Omar, jatuh ke kakinya.

Perak menggandakan kelebihan apabila kapten pasukan, Mohd Nasir Basharuddin, meledak dari luar kotak penalti susulan kawalan tidak kemas daripada benteng pertahanan lawan pada minit ke-24.

Kedua-dua gol itu terhasil turut dibantu oleh kesilapan Asyraf yang dilihat sedikit keluar dari pintu gol, dengan percubaan tinggi itu sukar dicapainya.

Walapun menunjukkan tindak balas yang baik, tidak banyak yang mampu dilakukan PKNP selepas gerakan mereka dikawal ketat, sekali gus kekal ketinggalan 0-2 menuju ke bilik persalinan.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, membawa masuk Mohd Nor Hakim Isa untuk menyegarkan jentera tengah dalam separuh masa kedua.

PKNP nyata menunjukkan kesegeraan untuk memburu gol sebaik memulakan semula perlawanan.

Pun begitu, Luiz pula hampir-hampir menambah jaringan buat Perak apabila dia selesa melakukan rembatan dalam kotak penalti. Mujur, Asyraf lebih tangkas melayangkan badan untuk menepis percubaan tersebut.

Ketika masa tinggal 10 minit, PKNP akhirnya menemui gol yang ditunggu-tunggu menerusi Shahrel Fikri Fauzi.

Ketajaaman penyerang itu terbukti apabila dia tenang melakukan rembatan selepas mengambil kesempatan daripada kekeliruan pertahanan lawan, Robert Cornthwaite.

Perak nyata gagal mengekalkan permainan baik seperti dilakukan dalam separuh masa pertama.

Malah, pada hujung perlawanan, PKNP nyaris menyamakan kedudukan, dengan rembatan S. Devan Raj jauh melewati palang ketika dia disajikan peluang terbuka di dalam kotak penalti.

PKNP masih berusaha keras sepanjang tambahan masa empat minit, namun Perak berjaya mengesahkan kemenangan ketiga musim ini untuk melonjakkan kedudukan di tempat keempat liga dengan mengumpul 10 mata.

Keputusan lain:

K LUMPUR 2 PAHANG 2
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen