Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, tidak akan memandang mudah kekuatan Perak meskipun skuad Bos Gaurus itu kehilangan dua tonggak utama mereka dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras, malam ini.

Perak akan berdepan Selangor tanpa penampilan Gilmar da Silva dan Leandro Dos Santos kerana penggantungan perlawanan.

Namun, bagi Nazliazmi, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, adalah seorang jurulatih berpengalaman yang mampu membentuk kesebelasan ampuh tanpa tonggak utama.

Sehubungan itu, Nazliazmi enggan melihat pemainnya mengambil mudah cabaran Perak.

"Mehmet mementingkan prestasi keseluruhan pemain, bukan hanya seorang individu. Walaupun beraksi tanpa dua pemain import itu -- kita tahu pemain itu tonggak pasukan -- saya tidak boleh memandang mudah kerana barisan pemain simpinan Perak boleh menampung.

"Saya akan memberitahu pasukan supaya sentiasa fokus untuk bertemu Perak," kata Nazliazmi.

Tonggak berpengalaman Selangor, Amri Yahyah, turut senada dengan jurulatihnya itu.

Bekas tonggak skuad kebangsaan itu berkata tiga mata amat penting buat Selangor dalam usaha mengukuhkan kedudukan liga.

"Tiga mata sangat penting untuk mengukuhkan kedudukan. Kami mesti mendapatkan tiga mata bagi mengelak berada jauh dalam Liga Super," katanya.