Perak terpaksa menggantikan bek tengah, Zachary Anderson gara-gara kecederaan
dalam usaha memastikan kemantapan pasukan.

Malah, Anderson telahpun pulang ke Australia untuk mendapat khidmat dan rawatan pakar di negara asalnya itu.

Tempat pemain kelahiran Australia itu kini diambil alih oleh seorang pemain kerakyatan Lubnan kelahiran Ivory Coast, Hussein Eldor.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata Eldor, 25 sudah memeterai ikatan dengan Perak.

"Perak terpaksa bertindak pantas bagi memastikan dan mengekalkan kemantapan pasukan untuk menghadapi separuh akhir Piala FA serta baki saingan Liga Super," katanya.

Menurut Adly, Eldor, 25 adalah bekas pemain kelab Liga India (I), Churchill Brothers S.C.

Katanya, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang prihatin terhadap keperluan pasukan bersetuju dengan tindakan menggantikan Anderson itu.

"Saya mengadakan perbincangan dan memberi penjelasan kepada Menteri Besar Perak mengenai apa yang berlaku dan beliau bersetuju dengan tindakan diambil (penggantian)," katanya.

Anderson adalah pemain ketiga digantikan Perak sejak jendela perpindahan dibuka pada 2 Mei lalu.

Sebelum ini, Gilmar Jose Da Silva dan Wunder Luiz Biten Court digantikan oleh dua pemain Brazil, iaitu Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).