Hasrat peminat melihat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantikan Gilmar Jose Da Silva dan Zac Anderson semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bermula 2 Mei lalu akhirnya menjadi kenyataan.

Ini kerana mereka sudah digantikan oleh dua pemain Brazil yang sedang menjalani latihan bersama pasukan The Bos Gaurus.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha PAFA, Tajul Hasnan Omar, yang memaklumkan bahawa kedua-dua pemain itu sudah memeterai ikatan dengan persatuan itu.

"Mereka sudah ikat kontrak dan akan diturunkan dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA bertemu PKNP FC di Stadium Perak, Sabtu ini," kata Tajul tetapi tidak mendedahkan identiti kedua-dua pemain itu.

"Gilmar dan Anderson digugurkan kerana prestasi kurang memuaskan ketika pusingan pertama liga dan Piala FA," katanya.

Sementara itu, Wander Luiz Bitencourt Junior pula menarik diri daripada pasukan kerana masalah kesihatan anaknya.

"Wander tarik diri kerana tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan berikutan masalah kesihatan anaknya," tambahnya.

Bagaimanapun, Tajul menegaskan Perak mengekalkan khidmat pemain tengah, Leandro Dos Santos.

Setiausaha PAFA itu juga mendedahkan bahawa Perak sedang berusaha mendapatkan khidmat Faris Ramli bagi memenuhi kouta pemain import Asean.

"Kami sedang berurusan dengan pemain dari Singapura itu dan berharap mendapat respons positif daripada penyerang tersebut," tambahnya.