Perak akan berdepan tragedi dalam perlawanan Liga Super menentang Pahang di Ipoh, malam esok selepas kehilangan lapan hingga sembilan pemain utama ekoran kecederaan, termasuk dua tonggak import yang menjalani penggantungan, Zach Anderson dan Lendro Dos Santos.

Firdaus Saiyadi mengalami masalah kesihatan manakala Wander Luiz, Gilmar da Silva, Shahrel Fikri Md Fauzi, Nazirul Naim Che Hashim dan Nor Hakim Hassan masih berada dalam senarai kecederaan.

Bagi ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, kehilangan sebilangan besar pemain utama itu memaksanya untuk membariskan pemain muda dan pilihan kedua untuk berdepan pasukan di tangga kedua Liga Super itu.

"Gilmar cedera, begitu juga dengan Fi (Firdaus), Fikri, Naim dan ramai lagi.

"Bagaimanapun, inilah bola sepak dan kami perlu melaluinya.

"Harap-harap kami akan beraksi baik esok," katanya.