Pengendali Perak, Mehmed Durakovic, mengakui pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri selepas skuad bimbingannya tumbang 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di tempat lawan, semalam.

Sambil menyifatkan TFC sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan, Durakovic begitupun kelihatan terkilan dengan kecuaian pemain-pemainnya hingga dihukum keberkesanan pasukan lawan yang mendapat dua gol mudah.

Perlawanan ke-11 semalam menyaksikan satu jaringan Kipre Tchetche dalam setiap babak memastikan kemenangan TFC manakala The Bos Gaurus terlepas peluang merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Inilah bola sepak. Kami beraksi dengan baik dalam 25 minit pertama sehingga Terengganu mendapat sepakan penalti yang mengubah perlawanan.

"Perak meneruskan serangan, kemudian hadir pula gol kedua pasukan lawan juga dari gerakan bola mati," luah Durakovic.

Beraksi tanpa kelibat beberapa tonggak utama juga jelas mengganggu corak permainan Perak dan kesan ketiadaan mereka dapat dilihat dalam perlawanan itu dengan hanya satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan dapat dilakukan.

"Pemain-pemain dihukum dengan kesilapan sendiri. Cuma pada saya, kami berhak mendapat sesuatu daripada perlawanan ini," ujar jurulatih berusia 52 tahun itu lagi.