Perak dapat khabar gembira menjelang pertemuan dengan JDT

Oleh Azizan Hashim 6 Julai 2019 22355
Perak dapat khabar gembira menjelang pertemuan dengan JDT
Perak dijangka mendapat kembali khidmat bek kanan dan kiri, Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim, untuk diturunkan dalam pertemuan dengan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Perak, malam ini.

Kedua-dua tonggak pertahanan itu direhatkan ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang di Ipoh, Ahad lalu.

Nazirul Naim tidak dapat diturunkan kerana penggantungan manakala Amirul Azhan pula akibat kecederaan.

Tempat Amirul Azhan diambil alih Rafiuddin Roddin manakala Mohamad Idris Ahmad menggantikan Nazirul Naim.

"Mereka sudah kembali berlatih bersama pasukan dan saya akan membuat keputusan mengenai kedudukan mereka sebelum perlawanan.

"Sebenarnya, Idris dan Rafiuddin melaksanakan peranan mereka dengan berkesan ketika menentang Pahang," kata jurulatih, Mehmet Durakovic.

Perak juga akan mendapat kembali khidmat Ronaldo Henrique Silva yang tidak diturunkan Ahad lalu.

Begitupun, Durakovic tidak dapat menggunakan khidmat Nor Hakim Hassan yang digantung.

Jurulatih dari Australia itu berharap anak buahnya mampu mempamerkan persembahan terbaik seperti pertemuan menentang Pahang itu.

"Kami perlu kekal corak sama, malah bermain lebih baik lagi jika ingin mempunyai peluang untuk menang.

"JDT adalah pasukan handalan. Mereka berada dalam kelas tersendiri. Perlawanan ini pastinya tidak mudah tetapi kami akan cuba," katanya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen