Gandingan Shahrul Mohd Saad dan Hussein Eldor akan diuji buat kali pertama apabila Perak melayani kunjungan Melaka di Ipoh, malam ini.

Selepas membantu Perak mengikat Pahang 0-0 di Kuantan minggu lalu tanpa Shahrul, keserasian Hussein dengan kapten Perak itu akan terus diuji.

"Masa itu, dia baru sampai dan saya dapat lihat dia kurang cergas tetapi selepas berlatih bersama selama seminggu, saya yakin dia berada di tahap lebih baik kali ini," kata ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Jurulatih itu berkata Perak memburu kemenangan keempat bagi meneruskan pendakian dalam carta Liga Super.

Selepas menduduki tangga ketujuh dengan 18 mata, The Bos Gaurus berpeluang untuk melonjak ke tangga kelima jika meraih kemenangan ke atas Melaka.

Justeru, Durakovic menuntut aksi terbaik daripada anak buahnya untuk merealisasikan impian mengutip tiga mata.

"Kami perlu menang agar dapat menempatkan diri di kedudukan lebih baik.

"Selaku juara Piala Malaysia, saya rasa kami sepatutnya berada dalam kelompok empat terbaik dan bukannya di tangga ketujuh seperti sekarang," tambahnya.

Durakovic yakin jika pemain mempamerkan persembahan mengikut kemampuan sebenar, Perak berupaya untuk merakamkan kemenangan keempat musim ini.

Dia berharap jentera serangan, terutama gandingan Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais (Careca), mampu menyengat selepas gagal melakukannya ketika menentang Pahang, minggu lalu.

"Kami perlu menjaringkan gol untuk menang. Jadi, saya berharap gandingan itu mampu menghasilkan sentuhan pemusnah.

"Malah, bukan mereka saja, pemain lain juga perlu membantu jaringan jika mendapat peluang," ujarnya.

Walaupun Perak akan turun tanpa pemain tengah, Leandro Dos Santos, ekoran penggantungan perlawanan, namun Durakovic yakin persembahan anak buahnya tidak akan terjejas.