Perak masih menguji Jeon Hyo-Seok sebelum membuat keputusan mengenai kedudukan pemain Korea Selatan itu bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata belum ada kepastian setakat ini kerana Perak masih mahu menilai keupayaan pemain tengah itu.

"Belum ada keputusan. Dia perlu menjalani ujian dan kami akan menilai kesesuaiannya," kata Adly.

Pemain berumur 22 tahun itu bakal menjadi pemain import keempat jika ditawarkan kontrak selepas Perak mengumumkan pengambilan bekas penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

TBG mengekalkan dua pemain musim ini, Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca.

Tambah pengurus itu, Perak akan melengkapkan kuota pemain musim ini dan usaha mencari pemain berwibawa sedang giat diadakan, termasuk slot pemain tempatan bagi mengukuhkan pasukan.