Pengendali Negeri Sembilan, Jorg Steinbrunner, bakal menyandarkan harapan kepada Khairul Izuan Rosli dan Fakhrul Aiman Sidid untuk merobek kubu lawan bagi mengisi ketiadaan Nicolas Veles untuk aksi Liga Super berdepan Terengganu, esok.

Selepas tiga perlawanan, skuad Jang meraih tiga mata menerusi kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam aksi kedua.

"Rehat liga selama dua minggu ini memberi manfaat kepada beberapa perkara, terutama masalah kecederaan ringan," ujarnya dalam persiapan terakhir hari ini.

Sekalipun ketiadaan penyerang import dari Argentina, Veles, merencatkan persiapan Negeri Sembilan, namun pengendali berbangsa Jerman itu enggan menjadikan itu sebagai alasan tatkala mereka mengintai kebangkitan selepas dibelasah Melaka United 3-0.

Apatah lagi, Terengganu dalam keyakinan tinggi susulan kemenangan selesa 4-1 ke atas Selangor di laman sendiri.

"Kami tidak bergantung kepada hanya seorang pemain semata-mata.

"Saya masih mempunyai khidmat Fakrul Aiman dan Khairul Izuan yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan semasa pra-musim, termasuk dalam aksi kedua selepas Veles ditimpa kecederaan.

"Mereka adalah pengganti yang bagus," katanya lagi.