Selepas hampir semusim tidak beraksi, bekas pemain tengah Sabah dan Kelantan, Brendan Gan, sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen lutut (ACL) yang dialaminya.

Kali pertama pemain tengah itu dilanda kecederaan serius di lutut kanan adalah pada 2015 bersama Kelantan sebelum kaki kirinya pula menjadi mangsa, setahun kemudian.

Dia sedang mempersiapkan diri untuk cabaran musim 2018 Liga Malaysia (Liga M) tetapi ia satu proses yang panjang buatnya sebelum dapat memastikan kembali beraksi.

Pemain kelahiran Australia itu berkongsi pendapat mengenai cabaran dan kesukaran yang perlu dilaluinya untuk bangkit daripada kecederaan buat kali kedua.

"Kecederaan ACL ini sangat perit, apatah lagi ia adalah kecederaan berulang.

"Ia lebih sukar dari sudut mentaliti kerana saya sepatutnya tahu apa yang akan saya hadapi untuk proses pemulihan.

"Bagaimanapun, setiap kecederaan ACL adalah berbeza.

"Saya sangkakan fizikal saya sudah bersedia selepas ditimpa kecederaan pertama, namun perlawanan yang banyak dalam tempoh sebulan telah memberi kesan.

"Sebab itulah, kali ini saya mahu lebih bersedia untuk menghadapi musim baru nanti," katanya.

Justeru, Brendan enggan tergesa-gesa untuk kembali meskipun berpeluang melakukannya musim ini.

"Saya mahu kuat, cergas dan 100 peratus bersedia untuk memberi khidmat kepada pasukan baru nanti selain tidak mahu ditimpa kecederaan lagi."

Sementara itu, Brendan sempat berkongsi pandangan mengenai senario pemain naturalisasi yang membarisi skuad kebangsaan.

"Malaysia mempunyai ramai pemain yang bagus dan kehadiran pemain berdarah kacukan ini akan memantapkan lagi pasukan.

"Dengan kehadiran empat pemain import dalam kancah Liga M sekalipun, pemain tempatan tetap mampu memberi saingan.

"Gandingan pemain tempatan yang bagus dan pemain naturalisasi pasti akan menjadikan pasukan kebangsaan lebih bagus lagi," katanya.