"Teruskan momentum dan fokus kepada perlawanan. Jangan sesekali lalai jika mahu membawa balik tiga mata penuh."

Itu amanat yang diberikan oleh pemangku ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala, ketika sesi latihan anak-anak buahnya hari ini.

Pengiran Bala, yang memikul tugas yang ditinggalkan David Usop, berharap pemainnya akan berusaha segigih mungkin kerana tiga mata penuh selepas ini, akan membawa perbezaan yang besar pada tangga liga dan menentukan nasib pasukan itu pada musim depan.

"Saya tidak minta banyak. Itu sahaja. Jika mereka fokus, mereka akan dapat menguasai permainan dengan baik, seterusnya memanfaatkan peluang kepada jaringan," tambahnya.

Sarawak akan bertemu Terengganu di tempat lawan pada 9 September untuk aksi Piala Malaysia sebelum bertemu Pahang di Stadium Darulmakmur dalam saingan Liga Super.

"Dalam kedua-dua perlawanan ini, kita masih kehilangan Ronny Harun yang dibelenggu kecederaan.

"Mohd Sahil Suhaimi pula dilepaskan kembali ke Singapura untuk menyahut panggilan pasukan kebangsaan negara itu dalam kelayakan Piala Asia," katanya.

Pun begitu, katanya, kehilangan dua tonggak itu akan diisi dengan kehadiran semula Demerson Bruno Costa yang kini telah cergas sepenuhnya manakala beberapa pemain muda telah menunjukkan peningkatan mendadak.

"Saya berharap pemain-pemain muda ini menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi.

"Kita mahu mereka kekal dalam pasukan pada musim depan, dan untuk itu, mereka perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan," katanya yang menurunkan sekurang-kurangnya enam pemain muda serentak dalam empat aksi kebelakangan ini.

Katanya, beliau mahu pasukan yang bakal dibentuk kelak memiliki mental yang kuat dan tidak panik berhadapan tekanan.

"Dalam bola sepak, penting untuk menangani tekanan dan saya mahu mereka memiliki keupayaan itu... menukar tekanan kepada peluang.

Menjelang aksi menentang Terengganu selepas rehat yang panjang, Pengiran Bala positif sesuatu dapat dicipta.

"Saya perhati suasana latihan agak mesra dan para pemain menunjukkan semangat yang positif.

"Dan saya berharap mereka dapat mengekalkan situasi ini, seterusnya mencipta kemenangan apabila tiba hari perlawanan kelak," tambahnya lagi.