PKNP dipisahkan pengalaman dengan juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT), menerusi dua minit yang menghalang hasrat mereka mencipta kejutan semalam.

Menerusi aksi yang tidak membawa sebarang misi besar, PKNP sekadar menyekat skuad kendalian Raul Longhi itu sehingga 70 minit waktu permainan sebelum akur dengan kekalahan 2-1 di Stadium Perak.

Bagaimanapun, pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, menjelaskan usaha cuba dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit dan mengakui beliau perlu memperkemaskan pasukannya menjelang pembukaan saingan Piala Malaysia, bulan depan.

"Kami terus berusaha sepanjang permainan untuk bersaing dengan JDT. Kami akan menilai persembahan pasukan sebelum menghadapi Piala Malaysia," kata Abu Bakar.

Sementara itu, Longhi mengakui tekanan yang dilancarkan pasukan tuan rumah, namun beliau menggunakan alasan kepenatan sebagai punca anak buahnya terpaksa menunggu sehingga minit ke-73 untuk mencetak jaringan.

"Pemain-pemain agak kepenatan kerana beraksi dalam tempoh tiga hari. Kami akan sekali lagi beraksi dalam perlawanan terakhir berdepan Kuala Lumpur pada Sabtu ini," katanya.