Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah, mengakui faktor pengalaman seseorang jurulatih itu menjadi antara ciri-ciri yang
ditekankan.


Pengurusan KAFA sedang dalam pencarian pengendali baru untuk skuad The Red Warriors bagi menggantikan Sathit Bensoh yang dipecat selepas gagal mencipta keputusan positif dalam tiga
perlawanan Liga Super.

Afandi turut menekankan pucuk pimpinan KAFA tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dalam menamakan jurulatih baru. Ketika ini, KAFA memilih Yusri Che Lah untuk mengambil alih tugas itu buat sementara waktu.

"Kami akan membuat penilaian yang terperinci terhadap senarai yang telah diberikan kepada persatuan. Pengalaman serta pencapaian jurulatih menjadi keutamaan," kata Afandi.

Sebelum ini, media arus perdana mengaitkan nama dua bekas pengendali Kelantan, Velizar Popov dan Datuk M. Karathu sebagai calon pengganti Sathit.

Bagaimanapun, Afandi berkata setakat ini tiada kepastian KAFA akan mengambil salah seorang daripada dua jurulatih itu untuk kembali ke Kelantan.

"Kelantan memerlukan pemilihan yang tepat kerana saingan Liga Super ini amat penting buat kami," tambahnya.