Pengalaman luas Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) serta kejayaan bersama Negeri Sembilan adalah faktor utama yang mendorong Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PNBS) memberi kepercayaan kepadanya sebagai ketua jurulatih baru untuk baki saingan musim ini.

Keyakinan terhadap Azraai itu disuarakan sendiri Presiden PBNS, Datuk Seri Mohammad Hasan, yang juga Menteri Besar.

Bagi Mohammad, Negeri Sembilan memerlukan seorang jurulatih berpengalaman dalam memastikan peningkatan segera dalam saingan Liga Super selepas Jorg Steinnerbruner meletak jawatan.

"PBNS melantik Azraai mengendalikan skuad Negeri Sembilan untuk mengambil alih daripada Steinnerbruner," kata Mohammad.

Sementara itu, Azraai menyahut cabaran bersama skuad Jang musim ini dan sedia membalas kepercayaan PBNS terhadapnya.

Perkara pertama yang akan dilakukan Azraai ialah penyusunan posisi pemain yang tampak kurang sesuai sebelum ini.

"Saya yakin pemain-pemain tempatan yang berada dalam skuad ini mampu meningkatkan mutu permainan serta pemain import juga akan mampu mempamerkan persembahan terbaik," kata Azraai.