Walaupun baru beraksi dua perlawanan sebagai pemain profesional, pertahanan muda PKNP FC, Sabir Abdul Salim, tampak sudah membuktikan kewibawaannya, termasuk dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur, semalam.

Sabir membuat penampilan sulung bersama skuad Liga Super PKNP ketika separuh akhir pertama Piala FA menentang Pahang di Kuantan, Sabtu lalu.

Dia mempamerkan aksi mantap untuk mengekang asakan awang import skuad Tok Gajah, Austin Amutu, dan pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi menyerlahkan keampuhannya ketika bertemu Kuala Lumpur.

Kali ini, dia cemerlang merantai pergerakan penyerang import lawan, Guillherme De Paula, daripada menjaringkan gol, sekali gus menjadi antara watak penting kebangkitan PKNP, semalam.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberikan peluang buat saya bermain dan mempercayai saya.

“Saya ingin membantu pasukan untuk terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim depan,” katanya.

Dalam pertemuan di Stadium KLFA, Cheras itu, pasukan bimbingan Fabio Maciel itu terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan kapten, Indra Putra Mahayuddin, pada minit ke-21.

Bagaimanapun, PKNP meraih gol penyamaan 10 minit sebelum wisel penamat dibunyikan hasil jaringan sendiri pertahanan tuan rumah, Saiful Nizam Miswan.

“Pertemuan dengan PKNP sangat sukar. Saya lebih rela beraksi 10 kali menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan berbanding bertemu PKNP sekali kerana ia satu aksi getir,” ujar Maciel.