“Elak buruk sangka.”

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, menggesa pihak Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar lebih teliti dalam proses penetapan pengadil pada masa akan datang bagi mengelak kekeliruan.

Isu penggunaan pengadil yang sama, Suhaizi Shukri, dalam dua perlawanan membabitkan Selangor jelas mencetuskan pelbagai reaksi.

Apa yang ditimbulkan pengendali Selangor, B. Sathianathan, sebaik sahaja tamat perlawanan dengan Petaling Jaya City FC, Sabtu lalu, turut mendapat sokongan FAS yang melihat perkara itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Secara logik, selalunya pengadil (yang sama) tidak akan digunakan untuk perlawanan melibatkan pasukan sama dalam jangka masa yang panjang dan ia harus mengikut penggiliran. Situasi itu boleh dikawal. Jika kerap menggunakan pengadil sama, ia boleh mencetuskan buruk sangka," kata Dr. Johan.

Sementara itu, tiada perkembangan terkini membabitkan proses membaik pulih Stadium Shah Alam walaupun telah menerima teguran Sathianathan.

Namun, skuad Selangor akan kembali ke padang latihan asal di Padang SUK bagi tempoh dua hingga tiga minggu dari sekarang.

"Padang latihan SUK sudah sedia untuk digunakan.

"Ketika ini, ia masih dalam penyelenggaraan dan mungkin boleh digunakan dua atau tiga minggu lagi," tambahnya.