Pembantu jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik, menyelar barisan pemain pasukan itu selepas mereka dimalukan 1-2 oleh PKNP FC di depan penyokong sendiri, malam tadi.

Menurut Mohamad, mereka beraksi di bawah tahap sebenar dan hanya bangkit pada 20 minit terakhir ketika sudah pun ketinggalan dua gol.

Jaringan dibolosi juga berpunca daripada kesilapan individu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku, sekali gus membenarkan pihak lawan menguasai bola.

"Sebagai pemain, sepatutnya ada motivasi untuk menang, tambahan pula beraksi di tempat sendiri.

"Semangat mahukan kemenangan dan menjaga maruah tidak ada dalam diri pemain dan itu adalah sikap yang perlu diubah," luah bekas pemain kebangsaan itu.

Mohamad berkata TFC harus menyalahkan diri sendiri dengan kegagalan menyudahkan peluang walaupun mendapat banyak sepakan bebas dalam kawasan berbahaya.

Ketiadaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, tidak boleh dijadikan punca aksi tidak bermaya Sang Penyu yang kini lebih hampir ke zon penyingkiran berbanding pasukan atasan.

"Saya cukup kecewa. Selain beraksi di tempat sendiri, kami juga ada rehat lebih sehari selepas aksi Piala FA.

"Bukan kami memandang rendah keupayaan lawan tapi ini adalah masalah sikap," tambahnya.

Dalam perlawanan malam tadi, satu gol Giancarlo Rodrigues dalam setiap babak membantu PKNP FC untuk meraih kemenangan berharga 2-1.

Ia menyaksikan penyerang pinjaman dari PJ City FC itu terus berbisa dengan enam gol daripada tiga perlawanan terakhir manakala ayam tambatan TFC musim lalu, Kipre Tchetche, terus kebuntuan jaringan.

Pintu gol TFC bocor pada minit ke-45 menerusi Rodrigues yang menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran Ahmad Syamim Yahya ke atas pemain sayap, M. Ganesan.

Hanya seminit bersambung dalam babak kedua, PKNP menjarakkan kedudukan apabila Rodrigues menyambar hantaran Ganesan untuk menewaskan Wan Muhamad Azraei Wan Teh buat kali kedua.

Hanya pada minit ke-72, Syamim menebus kesilapannya memberikan penalti apabila menyambar hantaran pemain gantian, Ashari Samsudin, untuk merapatkan kedudukan 1-2, namun sudah terlambat.