Pemain tengah Filipina lengkapkan kuota import Kedah 

Oleh Bernama 14 Disember 2019 2707
Pemain tengah Filipina lengkapkan kuota import Kedah 
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengikat pemain tengah Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari, sekali gus melengkapkan lima pemain import pasukan itu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) serta saingan Liga Juara-Juara Asia 2020.

Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa, berkata pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Sweden dan mempunyai kerakyatan Filipina itu, mengisi slot pemain import Asia bagi skuad Lang Merah dan dijangka mengemudi pasukan di bahagian tengah.

Katanya, Amin sebelum ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina serta kelab dari Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC.

“Saya dan barisan kejurulatihan telah mengambil sedikit masa dalam membuat keputusan yang teliti bagi memilih seorang ‘jeneral’ di bahagian tengah untuk melengkapkan slot terakhir pemain import dan berharap dia dapat mengemudi posisi itu dengan cemerlang.

“Amin akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada jam 2.30 petang esok,” katanya ketika ditemui dalam Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra hari ini.

Kejohanan itu dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga ADUN Jitra.

Amin melengkapkan lima kuota import Kedah yang sebelum ini telah memiliki dua pemain pertahanan, Muhammad Shakir Hamzah dan Renan Da Silva Alves, serta dua penyerang, Kpah Sean Sherman dan Kipre Tchetche Hermann Brice.

Dalam pada itu, Anas Hafiz berkata pihak pengurusan KFA turut mengikat penjaga gol, Mohd Azri Abdul Ghani, 20, yang beraksi bersama pasukan kebangsaan B-19 serta Felda United FC.

“KFA juga terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat penyerang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, daripada PKNS FC selepas dia disahkan tidak cukup cergas untuk memenuhi syarat utama kontrak profesional.

“Keputusan itu bukan mudah, namun keutamaan diberikan kepada persiapan pasukan yang mantap dalam menongkah cabaran musim depan. Saya berharap agar Muhammad Jafri segera pulih daripada kecederaan dan dapat terus menyinar dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz yang juga presiden KFA berkata pemain baru yang dibawa masuk ke skuad utama musim depan dibuat dengan teliti oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

“Musim 2019, kami meraih nombor empat Liga Super, muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia serta layak ke Piala AFC, jadi kami kena teruskan kecemerlangan ini dan pentingnya kami buat perubahan dan saya kira kami sudah ada pasukan yang mantap,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen