Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, menegaskan beliau terpaksa bersikap memilih dalam menentukan pemain yang benar-benar layak untuk berada di atas padang demi kelangsungan Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

Apa yang disuarakan Nazliazmi cukup jelas -- ia dibuktikan menerusi keputusannya mengeluarkan pemain tengah, Joseph Kalang Tie, yang hanya dapat beraksi selama 20 minit dalam babak kedua perlawanan berdepan PKNS di Stadium Shah Alam, semalam.

Tegas Nazliazmi, beliau perlu melihat lebih banyak usaha daripada pemainnya untuk tampil berkesan dalam pasukan.

Ternyata keputusan Nazliazmi membawa hasil apabila kemasukan D. Kugen berjaya mencetak jaringan kedua Selangor pada minit ke-89.

"Kemasukan Joepf, tempoh permainan agak tinggi. Di situ dengan tekanan yang diberikan pertahanan PKNS menyebabkan dia hilang bola. Saya membuat pertukaran bukan untuk kepentingan individu tetapi untuk pasukan. Hasilnya, Kugan berjaya menjaringkan gol," kata Nazliazmi.

Dalam masa sama, pertahanan senior Selangor, Razman Roslan, tidak terlepas daripada tekanan Nazliazmi untuk membuktikan kemampuan sekiranya mahu diberi peluang kembali beraksi selepas melewati kecederaan sebelum ini.

Kapten Selangor, Amri Yahyah, menuntut setiap pemain lebih serius di atas padang sekiranya tidak mahu terus keciciran mata.

"Saya harap pemain yang diturunkan selepas Hari Raya nanti dapat bermain dengan lebih baik. Saya harap kami tidak keciciran mata lagi. Kami sekarang ini memerlukan mata maksimun bagi mengelak berada di tangga terbawah," kata Amri.

Imej: Asiana