Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berang dengan persembahan dua pemain import di bahagian benteng, Siyovush Asrorov dan Amani Aguinaldo, ketika bertemu Pahang dalam pertemuan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Bagi Abu Bakar, kedua-dua pemain itu sepatutnya memainkan peranan berkesan tetapi malangnya gagal berbuat demikian.

"Tiada kawalan, tiada hadangan terhadap penyerang lawan menyebabkan Pahang dapat menjaringkan gol dengan mudah.

"Seperti menentang Felda United minggu lalu, malam tadi kami bolos seawal minit kedua perlawanan," katanya mengenai kekalahan 0-3 pasukan bimbingannya.

Lebih mengecewakan Abu Bakar ialah persembahan pemain import dari Tajikistan, Asrorov.

"Dalam lima perlawanan dia diturunkan, saya lihat dia gagal melaksanakan tugas dengan berkesan. Hadangan tidak ada, kawalan terhadap pemain lawan tiada.

"Dia hanya indah khabar daripada rupa walaupun datang dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan.

"Sebagai pemain import, persembahannya sepatutnya jauh lebih baik daripada pemain tempatan," ujarnya.

Abu Bakar nyata terlalu kecewa kerana sepanjang mengendalikan pasukan PKNP FC dalam Liga Perdana 2017 serta dua musim dalam Liga Super, ini kali pertama pasukan itu dibolosi banyak gol.

"Saya bukan tidak boleh terima kekalahan tetapi bukan kalah dengan mudah gara-gara terlalu menghormati pemain lawan," katanya.

Foto ihsan media PKNP FC