Pahang berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super apabila bertandang ke pasukan di tangga ketujuh, Terengganu, malam ini.

Aksi tunggal Liga Super malam ini itu mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Tok Gajah dengan pembantu jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Rosdi, melaungkan amaran bahawa mereka sedia meneruskan momentum kemenangan ketika membenam PKNS FC, Selasa lalu.

"Kami mahu meneruskan misi kemenangan, kami mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pasukan lain.

"Kami perlu pastikan tiga mata malam ini," katanya.

Dalam aksi di Stadium Darulmakmur, Selasa lalu, skuad kendalian Dollah Salleh itu melepaskan pendahuluan dua gol sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas PKNS pada lewat permainan.

Walaupun ketiga-tiga gol tersebut disumbangkan oleh pertahanan, Herold Goulon, Muslim Ahmad dan Matthew Davies, Shaharuddin percaya ia hasil daripada kerjasama sepasukan.

"Kami mengalami kesukaran di bahagian depan.

"Dalam pertemuan dengan PKNS, tiga jaringan kami disumbangkan pemain pertahanan.

"Oleh itu kami tiada masalah dengan sesiapa pun yang melakukan jaringan selagi apa yang dirancang berjaya dilaksanakan," katanya lagi.