PKNS 2 SELANGOR 3

Selangor mencerahkan peluang untuk menamatkan saingan Liga Super 2019 di tangga ketiga selepas merakamkan kemenangan ke atas PKNS 3-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Dengan misi menebus maruah tewas 4-0 dalam aksi pertama, skuad Semut Merah kendalian K. Rajagobal itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan Romel Oswaldo Morales.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan Sandro da Silva pada minit ke-39.

Insiden pelanggaran di antara penjaga gol PKNS, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, dan kapten pasukan, P. Gunalan, memberi kelebihan kepada pasukan pelawat menambah jaringan melalui Ifedayo Olusegun pada minit ke-43.

Memasuki babak kedua, skuad Gergasi Merah melebarkan jurang kedudukan kepada 3-1, dengan Ifedayo meledak gol keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-52, sekali gus merekodkan golnya yang ke-12 musim ini.

PKNS menggandakan asakan sehingga memperoleh jaringan kedua melalui Tamirlan Kozubaev pada minit ke-76, namun ia sekadar menjadi sagu hati.

Kemenangan itu meletakkan Selangor di tangga kedua sementara menantikan perlawanan di antara Kedah dan Felda United.

Keputusan lain:

PAHANG 4 MELAKA 1